Adakah Solat Anda SAH Sekiranya Terkena Bulu Kucing? Ini Pendapat Ustaz Mengenai…

Assalamualaikum dan salam penghujung Zulhijjah. Tak lama lagi kita akan menganjak ke tahun baru mengikut kalendar Islam, iaitu Awal Muharam. Semua orang mempunyai keazaman sendiri bagaimana hendak mempersiapkan diri untuk menjadi yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya.

Pasti ada segelintir yang masih mempunyai kemusykilan sekiranya pakaian yang dipakai terkena bulu kucing, apakah akan terjadi kepada ibadah solat kita? Adakah ianya sah? Jom kita baca hasil perbincangan antara orang umum dengan para ulama.

==================================================================================

SOALAN: Assalam ustaz. Ustaz, adakah bulu kucing itu termasuk dalam kategori najis? Sebab ada yang beritahu saya bulu kucing adalah najis. Jika terkena pada baju, tak boleh bawa solat. Betul ke ustaz? Jazakallahu khair.

Berikut merupakan jawapan ustaz tersebut:

Bulu kucing bukanlah najis. Hal ini kerana kucing itu sendiri bukan binatang yang najis, malahan bulu kucing yang jatuh ke dalam air minuman juga tidak akan menajiskan minuman tersebut.

Berikut kami petik fatwa yang dikeluarkan Markas Fatwa dibawah pengawasan Dr Abdullah al-Faqih :-

Kucing bukanlah binatang yang najis, diriwayatkan dari pengarang-pengarang al-Sunan dari Kabshah bt Ka’b ibn Malik, isteri kepada Abu Qutaadah, bahawa Abu Qutaadah masuk dan dia (isteri) menuangkan air kepadanya agar dia dapat melakukan wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan minum dari air tersebut, dan ia menarik takungan tersebut agar dapat minum air tersebut. Kabshah berkata :”Dia melihatku memandang kepadanya dan dia berkata, ‘Adakah anda mendapatinya pelik, Ya anak perempuan saudaraku?”. Aku berkata, “Ya”. Dia berkata :

Rasulullah SAW bersabda :
Sesungguhnya bukanlah kucing itu najis, kerana sesungguhnya ia adalah dalam kalangan mereka yang biasanya berada dikeliling kamu (al-tawwaafeena ‘alaikum). Maka dengan itu, apa yang datang pada bulunya adalah bersih (Taher) dan tidak memudharatkan jika ia terjatuh ke dalam makanan dan minuman, akan tetapi seeorang itu boleh meninggalkannya sebab menjaga kesihatan.

Perkataan “mereka yang biasanya berada dikeliling kamu di dalam hadis yang terkandung di dalam fatwa diatas membawa maksud kucing itu juga bagaikan orang rumah yang sudah biasa berada dengan orang-orang di dalam rumah.

Terdapat juga di dalam riwayat yang lain, di mana seorang wanita membawa makanan hareesa kepada Aisyah ra. dan mendapati beliau sedang bersolat. Aisyah telah mengisyaratkan kepadanya agar dia meletakkan barangan tersebut dibawah. Kemudan seekor kucing datang dan makan sedikit darinya. Apabila Aisyah selesai bersolat, beliau makan makanan yang telah makan oleh kucing tersebut dan berkata :

Rasulullah SAW bersabda :
“Kucing bukanlah najis, malah dia adalah diantara mereka yang biasanya berada dikeliling kamu. Aku melihat Rasulullah SAW melakukan wuduk dengan air yang telah diminum oleh kucing”.
[Hadis Riwayat Abu Daud dan lain-lain]

SOALAN: Assalam ustaz. Saya ada memelihara kucing di rumah saya. Adakah sah solat saya, jika kain sembahyang atau sejadah terdapat bulu kucing? Adakah bulu kucing ini dikategorikan sebagai najis?

JAWAPAN: Solat saudari sah, kerana bulu kucing bukan dikategorikan sebagai najis.

 

Secara kesimpulannya, kucing bukanlah binatang najis, begitu juga dengan bulunya. Kucing dianggap sebagai ‘orang rumah’ sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW di atas. Terdapat dikalangan ulama-ulama bermazhab Syafie mengatakan bahawa apa yang tertanggal dari binatang yang haram dimakan adalah najis. Menurut Prof Dr Wahbah al-Zuhaily (a-Fiqh al-Islami 1/175) bahawa di sana terdapat pandangan yang menyebut bahawa jika bulu tersebut tidak lebih dari dua, maka ia  boleh dimaafkan. Namun demikian, jumhur ulama’ berpendapat bahwa bulu kucing tidak najis, malah jika ia jatuh ke dalam air sekalipun, maka air tersebut masih boleh diminum, sebagaimana Rasulullah melakukan wuduk pada takungan air yang telah diminum oleh kucing, dan Aisyah juga memakan juadah yang telah diusik oleh kucing. Kesemua ini menjadi dalil kesucian kucing. Wallahualam.

4 Replies to “Adakah Solat Anda SAH Sekiranya Terkena Bulu Kucing? Ini Pendapat Ustaz Mengenai…”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *