Atlet Kelahiran Sandakan, Eddy Bernard Rangkul Juara Dalam 100 Meter Sukan Para ASEAN KL 2017

Sukan Para ASEAN merupakan temasya Sukan yang diadakan selepas Sukan Asia Tenggara untuk olahragawan Asia Tenggara kehilangan upaya. Kejohanan tersebut disertai 11 negara Asia Tenggaraseperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Timor-Leste, Singapura dan Vietnam. Sukan Para yang mirip Sukan Paralimpik, disertai olahragawan yang kehilangan upaya tertentu seperti Kurang upaya pergerakan, kurang upaya anggota, Kurang upaya penglihatan dan Cerebral palsy.

Temasya Sukan Para ASEAN dikelolakan di bawah penguasaan Persekutuan Sukan Para ASEAN  dan biasanya dianjurkan tuan rumah Sukan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 2 minggu selepas langsungnya Sukan Asia Tenggara. Walaupun menurut tradisi bahawa tuan rumah Sukan Asia Tenggara adalah juga tuan rumah Sukan Para ASEAN, kekurangan kemudahan atau tidak berpengalaman dalam menganjurkan kejohanan sukan orang kurang upaya menyebabkan penukaran bandar tuan rumah seperti menggantikan Jakarta dengan Surakarta bagi Sukan Para ASEAN 2011 , atau penukaran negara tuan rumah seperti menggantikan Laos dengan Malaysia bagi Sukan Para ASEAN 2009.

Sukan Para ASEAN berperanan sebagai temasya sukan peringkat kawasan menyediakan olahragawan kurang upaya untuk bersaing di Sukan Paralimpik.Selain Memupuk semangat persahabatan dan persefahaman antara orang kurang upaya kawasan ASEAN melalui sukan, ia juga memperkenalkan dan membangunkan sukan untuk orang kurang upaya dan mengembalikan dan memperpadukan orang kurang upaya ke dalam masyarakat melalui sukan.

KUALA LUMPUR: Dari peserta program realiti kini menjadi juara Asia Tenggara, perjalanan penuh manis yang dilalui oleh pemenang pingat emas 100 meter T37 (cerebral palsy), Eddy Bernard biarpun dalam penampilan sulungnya di Sukan Para ASEAN.

Atlet olahraga kelahiran Sandakan itu, berkata dia memang meletakkan sasaran untuk menang dan akhirnya impian itu tercapai selepas melintasi garisan penamat dengan catatan 12.45 saat sekali gus mengetepikan rakan senegara, Jacklon Ganding di tempat kedua (12.48s).

“Memang saya meletakkan sasaran untuk menang,” kata Eddy yang mana bakatnya dicungkil melalui program realiti berbentuk sukan yang dikhaskan untuk Sukan Para.

Dia yang berusia 16 tahun mengakui meminati acara olahraga sejak di tingkatan satu dan menjadikan pemenang pingat gangsa 100m Sukan Olimpik Rio 2016, Andre De Grasse sebagai idola.

“Saya meminati De Grasse kerana suka dengan teknik lariannya dan sentiasa tidak berada dalam tekanan.

“Saya cuba untuk mengikuti caranya tadi tapi agak gementar kerana kali pertama beraksi di Sukan Para dan melihat ramai pencabar hebat.

“Ketika mula berlari memang ada sedikit gementar, susah untuk menghilangkan perasaan itu tapi saya berazam untuk terus melakukan yang terbaik sehingga membolehkan saya menduduki tempat pertama,” katanya yang dilatih Norhafiszan Ahamd Narowi.

Lebih menarik Eddy berjaya mengetepikan pemenang pingat emas dua tahun lalu di Singapura, Le Van Manh yang sekadar meraih gangsa dengan catatan 12.68s

“Dapat menduduki tempat pertama memang menggembirakan saya, lebih-lebih apabila rakan sepelatih (Jacklon) meraih perak.

“Kami memang berlatih bersama-sama di Sabah dan memang di dalam latihan sentiasa bersaing untuk merebut tempat pertama dan kedua,” katanya.

Selepas ini Eddy akan mengambil bahagian dalam lompat jauh T27, yang juga acara kegemarannya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *