Bawah Umur ” Tidak Boleh Dihukum Mati “

Kejadian menyedihkan rakyat Malaysia yang mengakibatkan 23 orang terkorban , kini dalam kes polis setelah 7 suspek dikenal pasti. Suspek semuanya kini dalam jagaan polis dan akan dibicarakan ke Makahmah atas kesalahan yang telah dilakukan.

 

Ada sesetengah netizen mendoakan suspek agar dapat berubah suatu hari nanti. Namun rata-rata netizen marah dan mengatakan 7 suspek ini sepatutnya dihukum mati dan tidak boleh dibiarkan hidup lagi.

 

Ini keratan akhbar dari Metro Harian yang di katakan oleh Mahaizura Abd Malik :

 

Kuala Lumpur: Pesalah kanak-kanak jika didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh tidak boleh dihukum mati tetapi diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, tempoh tahanan itu pula tertakluk kepada Ahli Lembaga Pelawat yang dilantik khas bagi memantau perkembangan tingkah laku pesalah.

“Satu keburukan hukuman itu ialah kita tidak tahu tempoh tahanan berapa lama kerana tertakluk kepada budi bicara Ahli Lembaga Pelawat yang menilai mereka sepanjang tahanan sebelum mencadangkan pembebasan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Perlu diingat, pesalah kanak-kanak di bawah 18 tahun tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Mereka tidak dipanggil orang kena tuduh (OKT) atau perkataan sabit (didapati bersalah) dan walaupun ada kesalahan jenayah tidak boleh dikira sebagai rekod jenayah tidak seperti pesalah dewasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, perbicaraan bagi pesalah kanak-kanak mempunyai dua cara sama ada didakwa di Mahkamah Tinggi dengan menggunakan prosedur Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mahupun dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

“Prosedur perbicaraan juga berbeza dari mahkamah biasa iaitu perlu ada seorang hakim yang layak serta dua orang rakyat biasa dengan salah seorang daripada mereka adalah wanita.

“Paling penting segala maklumat peribadi pesalah termasuk nama dan gambar tidak boleh disiarkan kerana melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, menurut Peguambela dan Peguamcara Muhammad Akram Abdul Aziz walaupun pihak polis membuat siasatan di bawah seksyen tertentu atau memberikan saranan untuk suspek didakwa di bawah seksyen tertentu, pihak pendakwa raya adalah pihak yang berkuasa membuat keputusan.

“Pihak pendakwa raya yang mempunyai kata putus (setelah meneliti kertas siasatan) untuk memilih sama ada membuat dakwaan mengikut saranan polis atau memilih untuk mendakwa di bawah seksyen lain yang mereka rasakan lebih kukuh buktinya.

“Adakalanya mereka akan meminta pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut untuk memastikan bukti lebih kukuh atau tidak membuat apa-apa dakwaan jika tiada bukti,” katanya.

Menurutnya, bagi kes membabitkan remaja atau kanak-kanak di bawah 18 tahun, ada perbezaan dari prosedur perbicaraan biasa.

“Secara amnya, pihak berkaitan akan mengikut prosedur ditetapkan di bawah Seksyen 90 Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca sekali dengan Seksyen 83 di bawah akta sama.

“Jika yang dituduh itu kanak-kanak, mereka akan didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, namun jika usianya mencecah 18 tahun, pesalah akan menjalani proses pendakwaan di mahkamah biasa,” katanya.

Katanya, dari segi hukuman pesalah kanak-kanak juga berbeza apabila Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan golongan itu tidak boleh dihukum gantung sampai mati.

“Walaupun kanak-kanak itu boleh didakwa (secara teorinya) di bawah Seksyen 302, tapi jika dibuktikan bersalah, mereka tidak akan dihukum gantung,” katanya.

Be the first to comment on "Bawah Umur ” Tidak Boleh Dihukum Mati “"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*