Isu Rohingya Masih Berpanjangan. JAKIM Saran Solat Hajat Jumaat Ini,

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan agar masjid dan surau mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata ia akan diadakan selepas solat Jumaat.

“Jakim mengambil inisiatif melalui masjid-masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan solat hajat pada 15 September ini selepas solat Jumaat.

“Penganjurannya bertujuan untuk mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan serta mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan negara kita sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga meminta kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan solat hajat di masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.

Othman berkata ketengangan di Rakhine, Myanmar telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan negara sekitar dan sehingga kini isu tesebut masih belum nampak tanda-tanda perdamaian antara pihak-pihak yang bertelagah.

“Rakyat Malaysia disaran untuk sama-sama terus berdoa agar negara kita sentiasa kekal aman, makmur dan sejahtera,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan lebih 90,000 etnik Muslim Rohingya melarikan diri ke  Bangladesh dan sesetengah daripada mereka terkandas di kawasan pergunungan tanpa bekalan asas.

Kuala Lumpur memandang berat masalah penindasan terhadap etnik Rohingya dan memberi komitmen untuk membantu menangani krisis pelarian kaum itu yang kini dilaporkan mencecah 500,000 orang di Bangladesh iaitu negara jiran Myanmar.

Sumber – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *