Jangan Tersalah Jawab Ketika Temuduga, Gunakan Jawapan Dan Tips Ini

Antara langkah terakhir sebelum anda ingin melangkah ke alam pekerjaan adalah dengan ditemuduga. Selalunya, orang-orang yang berpangkat tinggi yang akan menemuduga anda, dan ianya pasti akan membuatkan rasa takut (nervous) semakin membuak. Admin akan berkongsi sedikit tips untuk temuduga buat rujukan anda semua. Enjoy!

1. Latar Belakang

Sekiranya anda diajukan soalan seperti, “Boleh ceritakan sedikit tentang anda?”, jangan anda jawab dengan menyatakan hobi, makanan dan minuman kegemaran, atau apa-apa hal yang tidak berkaitan dengan syarikat tersebut.

Sebaliknya, anda ceritakan tentang kelulusan, pengalaman kerja sebelum ini, dan perancangan karier anda. Huraikan isi-isi penting yang telah anda letakkan dalam resume.

2. Kekuatan dan Kelemahan

Kalau mereka bertanya soalan mengenai kekuatan anda, nyatakan mengenai kebolehan dan kemahiran anda dalam berkomunikasi, bekerja secara berkumpulan dan aspek-aspek lain yang boleh menyokong kekuatan anda.

Untuk kelemahan, anda boleh juga nyatakan tetapi jangan terlampau dedahkan kelemahan anda sehingga boleh mendatangkan banyak tanda tanya kepada si penyoal. Anda juga hendaklah sertakan jawapan yang bernas seperti bagaimana anda akan menghadapi serta mengatasi masalah tersebut tanpa menjejaskan prestasi diri sendiri dan syarikat.

3. Calon Yang Terbaik Untuk Posisi Tersebut

Untuk jenis soalan macam ni, anda perlu nyatakan pengalaman sebelum ini semasa mengendalikan kerja di tempat kerja lama, kelebihan anda dari segi bagaimana untuk membuat kerja dengan lebih efisien dan nyatakan contoh-contoh terbaik untuk menguatkan hujah anda.

4. Pertanyaan Sebelum Sesi Temuduga Berakhir

Untuk sesi terakhir ni, ramai orang terlepas pandang. Mereka ingat dengan diajukan soalan sebegitu, maksudnya sudah selesai. Sebaiknya, anda hendaklah ajukan pertanyaan anda mengenai syarikat ini, hala tuju, bagaimana bidang kerja tersebut dengan terperinci. Tunjukkan minat anda mengenai bidang kerja tersebut dan syarikat. Mana tahu, anda akan dipanggil untuk menerima kerja tersebut?

 

Sekian sahaja perkongsian hari ni. Oleh itu, anda semua boleh mula untuk berlatih (practise) sesi temuduga supaya lebih bersedia untuk menghadapi sesi yang betul. Semoga berjaya!

 

Be the first to comment on "Jangan Tersalah Jawab Ketika Temuduga, Gunakan Jawapan Dan Tips Ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*