“Kami Main Bukan Untuk Duit” – Pemain Hoki Malaysia Hilang 4 Gigi Depan Menentang Pakistan.

Dalam perlawanan hoki baru-baru ini Malaysia telah menentang Pakistan yang mana negara pakistan adalah salah satu skuad yang kuat dalam arena sukan hoki. Syukur dengan skuad Malaysia apabila menang dalam perlawanan menewaskan Pakistan dengan gol Malaysia 3 – Pakistan 2.

 

Dalam perlawanan Malaysia menentang Pakistan itu, seorang pemain Malaysia telah mengalami kecederaan yang agak serius di bahagian pipi dan mulut beliau. Di bawah adalah satu perkongsian daripada Retro Bola Sepak.

 

HOKI MALAYSIA: TIADA MISI TERLALU SUKAR, TIADA PENGORBANAN TERLALU BESAR!

 

Terkena pukulan di pipi kanan, dihentak kuat di atas mulut, sehingga mengalami pendarahan. Hilang 4 batang gigi, dalam pertarungan mengangkat maruah pasukan kebangsaan. Apakah provokasi serta kekasaran penuh emosional dan kesengajaan oleh para pemain Pakistan, mematahkan semangat Faizal dan Fitri Saari?

 

Jawapannya jelas, tidak. Mereka fokus bersama rakan-rakan lain, bangkit melawan meski dua kali ketinggalan!

 

Semuanya demi lencana di dada. Demi penyokong dan peminat setia. Demi nusa dan tanah air!

 

Fitri sendiri terpaksa meninggalkan anak kesayangannya, Muhammad Adam Zafran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang untuk membantu skuad negara di Dhaka, Bangladesh. Demikian juga kisah S. Kumar, penjaga gol legenda negara, yang kehilangan anaknya pada 2015, dalam usaha untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik.

 

Selepas menang menentang Pakistan, kita perlu berdepan satu lagi cabaran jaguh tradisi hoki Asia dan dunia, iaitu India. Moga para pemain Malaysian Tigers terus gagah dan berani, berjuang sepenuh jiwa untuk negara. Juga, moga lebih banyak pihak akan tampil untuk memberi penajaan bagi memajukan lagi liga hoki dan pasukan kebangsaan.

 

Kebajikan atlet negara yang banyak berkorban dalam arena hoki negara, perlu diberi perhatian. Meskipun bukan sukan yang dilimpahi lampu neon kemasyhuran dan ganjaran lumayan, jarang sukan hoki mengecewakan para peminat, khususnya dari segi pencapaian dan prestasi mereka.

 

Perjalanan masih jauh, namun semangat tak boleh jatuh. Bak kata orang Utagha; “Biaq mati menghempuh, daripada hanya duduk bersimpuh!”

 

Maju terus, hoki Malaysia!

 

Sumber : Retro Bola Sepak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *