Kes Rumah Murah : ‘Datuk’ Direman Semula

Pembinaan rumah sendiri dengan harga yang murah tentulah akan menarik orang ramai untuk melabur. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak skim membuat rumah dengan harga yang cukup murah. Bagi yang terdesak untuk mendapatkan sebuah rumah pastilah akan mempercayai skim tersebut. Namun, tahukah anda bahawa pembinaan rumah tersebut mengambil masa yang sangat lama dan kemungkinan besar anda akan tertipu.

Terkini, berkaitan dengan kes yang sedang hangat diperkatakan pada masa kini, seorang pelakon berstatus Dato direman semula untuk membantu siasatan penipuan penjualan rumah murah. Suspek ditahan untuk membantu siasatan kes penipuan yang membabitkan kerugian sebanyak 6.2 juta dengan sebanyak 201 laporan polis diterima sehingga sekarang.

Pada pandangan penulis, pengguna seharusnya lebih bijak untuk menganalisa sesuatu tawaran sebelum membuat keputusan mengikutinya. Kebanyakan skim rumah murah sebegini banyak menggunakan modus operandi yang sama.

  1. Jual dengan harga murah.
  2. Siap dalam beberapa tahun.

Berikut merupakan berita penuh yang dipetik daripada Berita Harian:

MUAR: Pelakon berstatus Datuk direman semula selama dua hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan penjualan rumah rumah berharga rendah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Muar, Nor’iza Mohamed terhadap suspek terbabit yang berusia 37 tahun pagi ini.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Semalam akhbar ini melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, memaklumkan pihak polis akan mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan reman terhadap suspek terbabit hari ini.

Ia berikutan tempoh reman suspek yang ditahan pada 3 Oktober lalu berakhir semalam.

Pelakon terbabit seorang daripada tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes yang penipuan berkenaan membabitkan kerugian sebanyak RM6.2 juta dengan sebanyak 201 laporan polis diterima sehingga semalam.

Selain pelakon terbabit, pihak polis juga akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas dua lagi suspek di Nilai, Negeri Sembilan bagi kes yang sama hari ini. Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kes sama di Nilai dan Muar.

Pada 3 Oktober lalu, pelakon berkenaan dan dua yang lain ditahan susulan daripada 188 laporan polis oleh individu yang mendakwa ditipu dua syarikat yang menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo yang berkeluasan 1,650 kaki persegi.

Bagaimanapun, selepas pembeli melunaskan bayaran, syarikat berkenaan tidak menjalankan pembinaan rumah seperti yang dijanjikan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *