Malaysia Diramal Kemungkinan Dilanda Banjir Besar Bulan Ini..

KUCHING- Malaysia diramal mengalami banjir besar pada bulan ini ekoran berlakunya fasa perubahan tiupan monsun bermula semalam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, taburan hujan yang meningkat merupakan amaran awal bahawa akan berlakunya fenomena ini dan ia diramal berlaku di seluruh rantau ini termasuk Indonesia dan Filipina.

“Kita telah meminta kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara untuk bersedia, selain mengambil langkah-langkah awal untuk berhadapan fenomena ini.

 

“Selama hampir lapan bulan, kita mengkaji pola taburan hujan di setiap kawasan dan ia agak berlainan dengan data-data ini kita simpan di Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyampaian Geran  MRP kepada pelbagai pertubuhan kawasan N4 Pantai Damai dan N5 Demak Laut, di pejabatnya di sini.

Sebanyak 71 pertubuhan telah menerima sumbangan berjumlah RM247,920.

Daripada kajian ini kata beliau lagi, pihaknya mendapati fakta yang dikumpul pada tahun 2012 hingga 2014 berkait taburan hujan dan banjir tidak lagi tepat dan relevan dengan data terkini.

“Oleh yang demikian, saya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji semula dari pelbagai sudut akan fakta-fakta taburan hujan ini dan mengenal pasti tempat-tempat yang dahulunya tidak banjir tetapi kini tenggelam, seperti yang kita lihat telah berlaku di Semenanjung.

Katanya, kajian kini dilakukan secara saintifik oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi, Jabatan Laut dan Institut Kajian Hidraulik Kebangsaan untuk mengumpul data dan merancang tambatan banjir di seluruh negara.

Kajian turut dilakukan untuk mengemas kini fakta taburan hujan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

“Laporan berkenaan taburan hujan ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan November depan sebagai persediaan menghadapi tahun 2018,” jelasnya.

 

Sumber : astro Awani

Be the first to comment on "Malaysia Diramal Kemungkinan Dilanda Banjir Besar Bulan Ini.."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*