Memakai Seluar Pendek, Boleh Didenda Sehingga RM1000.00

KOTA BHARU: Mana-mana individu beragama Islam yang memakai seluar pendek paras atas lutut di negeri Kelantan boleh dikenakan tindakan iaitu denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

 

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata memakai seluar pendek paras atas lutut adalah perbuatan tidak sopan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985. Tambahan pula, undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, dengan bertujuan untuk mendidik umat Islam memakai pakaian sopan dan mengikut syariah serta memupuk kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat.

 

“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dan bukan Islam di negeri ini,” katanya.

 

Mengikut enakmen berkenaan, memakai seluar pendek paras atas lutut dan perempuan yang berseluar serta berbaju ketat, berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab berpakaian. Akan tetapi, kesalahan itu khusus untuk mereka yang beragama Islam sahaja.

 

Pada 25 September lalu, seorang lelaki berumur 30 tahun ditahan semasa dalam perjalanan menuju gelanggang futsal kerana berseluar pendek. Individu tersebut diserahkan notis untuk datang ke sesi kaunseling pada minggu hadapan. Turut bersama adalah 10 orang lagi, termasuk empat perempuan yang didapati melakukan kesalahan kerana tidak memakai pakaian yang sopan.

Sementara itu, Ketua Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, ketika dihubungi, berkata bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut di negeri ini adalah satu kesalahan.

 

“Bagaimanapun, kita dalam peringkat berdakwah dan memberi kesedaran pada orang ramai, setakat ini tiada tindakan yang diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *