ROH BANDUAN HUKUMAN MATI DATANG TUNTUT ROKOK! – TUAN HARJIT, PEGAWAI GANTUNG

Sebetulnya abam tak berapa sihat tetapi disebabkan banyak sangat permintaan untuk abam lanjutkan kisah tukang gantung ni, OKlah abam sambung. Sebelum tu terima kasih atas sambutan kisah sebelum ini yang dah nak cecah 1,000 LIKE dan share.

 

Jika semalam abam tulis bagaimana kunci rumah Tuan Harjit (bukan nama sebenar) yang tiba-tiba hilang waktu dia hendak pergi bertugas, kali ini abam nak kongsi pengalaman ‘sulung’ Tuan Harjit berdepan dengan benda paling menyeramkan sepanjang bertugas sebagai tukang gantung – HANTU!

 

Menurut Tuan Harjit, sejujurnya beliau sebelum ini tidak begitu ambil pusing mengenai cerita-cerita berkaitan dengan roh, hantu, jembalang dan lain-lain semua ini. Katanya, ia mungkin disebabkan beliau sendiri tidak pernah berhadapan dengan makhluk-makluk halus sepertimana yang sering diperkatakan itu.

 

Namun segaalanya berubah beberapa tahun lalu ketika beliau mendapat arahan supaya menggantung seorang banduan ini sampai mati. Kata Tuan Harjit, setiap banduan yang bakal menjalani hukuman gantung, mereka dibolehkan menikmat ‘makanan terakhir’ sebelum hukuman dijalankan. Terpulanglah sama ada banduan tersebut nak makan nasi ayam ke, mee hailam ke, sup ekor ke janji tidak melebihi jumlah yang telah diperuntukkan kepada banduan akhir sepertinya.

 

Dipendekkan cerita, sewaktu Tuan Harjit hendak membawa banduan berkenaan keluar dari sel untuk ke bilik gantung, tiba-tiba lelaki itu merayu kepadanya.

” Nak tahu dia minta apa? Dia minta sebelum dia mati. Saya membenarkannya menghisap sebatang rokok.

” Memandangkan saya kena cepat dan tak boleh berlengah-lengah sewaktu menjalankan hukuman, saya berdiam diri dan tidak melayan permintaannya itu, ” kata Tuan Harjit.

 

Tidak lama selepas Tuan Harjit melaksanakan hukuman mati terhadap banduan berkenaan, dia kembali ke pejabat untuk meneruskan tugas-tugas runtinnya. Tiba-tiba Tuan Harjit terdengar pintu pejabatnya diketuk beberapa kali. Setelah dibuka, Tuan Harjit terkejut besar apa bila mendapati banduan yang digantungnya tadi, ‘MUNCUL SEMULA’ di depannya!

 

” Saya menggosok-gosok mata kerana macam tak percaya banduan itu boleh ada di depan saya.

” Banduan itu hanya diam seribu bahasa, yang lawaknya dia menggerak-gerakkan dua batang jarinya ke arah mulut seolah-olah menuntut janji dan meminta saya menunaikan permintaannya untuk menghisap rokok!

” Saya kemudian dengan nada yang tinggi terus menghalaunya agar segera keluar dari pejabat saya dan meminta banduan itu ‘PULANG’ sahaja ke ‘tempat barunya’. Saya kata pada banduan itu – dunia kita sudah berbeza!,” tegas Tuan Harjit.

 

Menurut beliau, walaupun insiden terjadi kira-kira dua minit sahaja, ia takkan luput dari ingatannya kerana itulah kali pertama beliau berhadapan dengan suasana yang cukup menyeramkan! Ujar Tuan Harjit, selepas meminta banduan itu keluar dari pejabatnya, dia pun beredar dari situ dan tak muncul-muncul lagi.

 

” Parah betul orang yang ketagih rokok ni rupanya, dah gantung sampai mati pun dia boleh datang balik!,” kata Tuan Harjit sambil tersenyum.

 

Aku pun tersenyum juga sambil perlahan-lahan ambik lighter Alladdin merah aku atas meja dan simpan dalam poket…

Sumber : Facebook Syahril A. Kadir

Kredit : Syahril A. Kadir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *