“Saya tak menghilangkan diri, saya sedang usaha bayar balik. Cuma minta pelanggan sabar sahaja, giliran mereka akan tiba.”-Zurin Jundi

Perkahwinan merupakan sesuatu yang sangat berharga untuk setiap pasangan. ‘Raja Sehari’ merupakan gelaran yang diberikan kepada dua mempelai yang melangsungkan perkahwinan. Namun beberapa bulan lalu, kecoh berkenaan kes ‘wedding planner’ yang tidak dapat memenuhi janji yang diberikan kepada pasangan yang menempah dengan mereka. Perbuatan ini sangatlah mendukacitakan semua pihak. Ada netizen yang menempelak wedding planner tersebut, tidak kurang kepada pelanggan kerana mudah dengan tertipu dengan pakej murah tersebut. Apapun, penulis berharap agar kes ini dapat diselesaikan dengan aman dan dapat menjaga hati semua pihak.

—————————————————————————————————————————————————————————

Perunding perkahwinan kontroversi, Zurin Jundi menafikan dirinya lari dan menghilangkan diri dari masalah malah mendakwa sedang berusaha untuk memulangkan semula bayaran kepada pelanggan yang tidak mahu meneruskan perkhidmatannya.

“SAYA tak lari, malah setiap hari saya usaha untuk pulangkan semula wang bayaran pakej perkahwinan pelanggan yang tidak mahu meneruskan perkhidmatan kami sebelum ini.”

Zurin atau nama sebenarnya Zurina Ahmad Jundi, 35, menerima desakan dari pelanggan untuk membayar semula deposit wang mereka berhubung isu pakej perkahwinan yang disediakannya memberi perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Menurut Zurin, dia kini sedang dalam proses menjual empat bangunan cawangan butiknya serta set barangan pelamin namun masih berunding harga yang sesuai untuk dijual kepada pembeli.

Tambahnya lagi, dia juga sedang berusaha untuk melangsaikan bayaran kepada pelanggan dengan menjual aset peribadi dan mengumpul sumbangan dari ahli keluarganya.

“Saya tak menghilangkan diri, saya sedang usaha bayar balik. Cuma minta pelanggan sabar sahaja, giliran mereka akan tiba.

“Bagi pelanggan yang mahu berjumpa dengan saya, bukan saya tidak mahu berhubung dengan mereka tetapi cukuplah dengan kejadian mereka ‘perangkap’ saya untuk menyerang dan mengugut saya supaya membayar wang segera.

“Seperti yang dimaklumkan, kami akan membayar secara berkala dan berperingkat. Kami terpaksa lakukan itu kerana pelanggan yang membuat tuntutan bukanlah sedikit,” katanya yang dipetik dari laporan Harian Metro.

Zurin berkata, pelanggan yang menuntut bayaran deposit terhadap syarikatnya antara 100 hingga 300 tempahan merangkumi empat negeri di setiap cawangan butiknya yang dianggarkan jumlah tuntutan keseluruhan sebanyak RM700,000 hingga RM800,000.

Jelasnya, proses pembayaran semula deposit kepada pelanggan boleh selesai dalam tempoh enam bulan sekiranya urusan berjalan lancar.

“Berdasarkan apa yang saya bincangkan dengan peguam saya, dalam masa enam bulan, 80 hingga 100 peratus pelanggan yang buat tuntutan akan terima wang mereka.

“Saya serahkan urusan bayaran balik ini kepada peguam saya, dan untuk pengetahuan ramai beberapa pelanggan sudah menerima wang tuntutan mereka cuma kami tidak boleh war-warkan siapa orangnya atas keselamatan mereka.

“Ada pelanggan yang dikecam serta dipersoalkan selepas terima bayaran, jadi beberapa pelanggan minta supaya rahsiakan nama apabila sudah menerima bayaran atas tujuan keselamatan,” katanya.

Tambah Zurina, dia kini berada dalam keadaan tertekan dan tidak mahu berjumpa dengan mana-mana pihak sehingga isu berkenaan reda.

“Saya mengaku pihak saya ada buat kesilapan tetapi tiada niat nak menipu atau menganiaya kerana jika benar saya nak menipu untuk kaut keuntungan, sejak awal kewujudan Zurin Jundi lagi kami boleh tipu berjuta ringgit.

“Sepuluh tahun kami naikkan nama butik ini dan mendapat kepercayaan ramai termasuk golongan artis, tetapi disebabkan kecuaian yang berlaku, nama butik ini jatuh teruk,” ujarnya.

Terdahulu, lebih 100 pengantin dan bakal pengantin mendakwa terpedaya dengan tawaran pakej perkahwinan yang ditawarkan dengan kerugian yang mencecah RM500,000.

Tular di media sosial apabila berpuluh mangsa yang didakwa ditipu telah menyerbu syarikat Zurin Jundi berikutan kegagalan syarikat perunding perkahwinan itu menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Pada 5 September, peguam Zurin Jundi tampil memohon maaf dan akan membuat pembayaran secara berkala kepada pelanggan yang mendapat perkhidmatan kurang memuaskan.

Sumber- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *