Watie Sadali Bekas Anggota Kumpulan Elite – Hanya Mampu Bayar RM 2,500 Sebulan

Setiap orang pasti akan mengalami masalah tak kira dari masalah apa sekali pun. Kes berkenaan dengan artis baru-baru ini telah berlanjutan sehingga ke tahap makahmah.

 

Perkonsian ini adalah dari coretan akhbar yang diambil dari Berita Harian

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Selayang menetapkan 25 Oktober ini untuk keputusan kes saman penghutang penghakiman terhadap bekas anggota kumpulan Elite, Watie yang gagal membayar ganti rugi berjumlah lebih RM700,000 kepada rakan kumpulannya, Hana, dua tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Watie yang tidak diwakili peguam bersama peguam Samir Zainal yang mewakili Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan, 39, dalam prosiding pendengaran kes itu di sini, hari ini.

Terdahulu, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 41, memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mampu membayar RM2,500 setiap bulan bagi melangsaikan hutangnya kepada Hana.

“Itu saja jumlah yang saya mampu bayar berdasarkan pendapatan bulanan saya yang tidak menentu.

“Saya tidak boleh buat apa-apa dan saya bercakap mengikut kemampuan dan jumlah paling tinggi saya mampu bayar RM2,500,” katanya.

Beliau berkata, dirinya tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang kerana pekerjaannya tidak menentu.

“Perkara ini boleh menjejaskan kerjaya saya dan bila terjejas bagaimana saya nak cari duit untuk bayar hutang,” katanya.

Tambah Watie, pendapatannya pada tahun 2015 hanya RM69,610, manakala pada 2016 pula berjumlah RM34,200 dan 2017 dari Januari hingga Jun sebanyak RM2,500 yang dimasukkan ke dalam akaun.

Watie juga mengakui pada tahun ini, beliau menerima bayaran berjumlah RM36,000 daripada 40 episod drama yang dilakonkan, bagaimanapun ia tidak dimasukkan ke dalam akaun bank.

Ini berikutan, beliau menerima jumlah itu secara tunai iaitu sebanyak RM900 setiap hari untuk 40 episod.

“Saya tiada pendapatan lain atau perniagaan sendiri dan hanya bergantung dengan kerjaya sebagai pelakon,” katanya.

Watie turut mengemukakan kepada mahkamah penyata bank dan dokumen berkaitan komitmen perbelanjaan bulanannya termasuk kereta, rumah, insurans keluarga selain bil utiliti dan perbelanjaan harian.

Saman penghutang penghakiman itu dikeluarkan selepas Hana menang dalam kes samannya terhadap Watie pada 10 Mac 2015 dan diberikan ganti rugi berjumlah RM707,351.83 setakat 18 Mei tahun ini.

Watie bagaimanapun gagal menjelaskan ganti rugi tersebut sehingga kini.

Hana sebelum ini memfailkan saman terhadap Watie ekoran kegagalan rakan artisnya itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya (Hana) untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

 

Akibatnya, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.

 

Sumber : Berita Harian

Be the first to comment on "Watie Sadali Bekas Anggota Kumpulan Elite – Hanya Mampu Bayar RM 2,500 Sebulan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*